Thursday, September 17, 2009

Valentino Rossi Tak Boleh Duduk Diam

Bintang MotoGP, Valentino Rossi bercadang menyertai perlumbaan kereta dalam tempoh sedekad selepas bersara dari perlumbaan motosikal dunia.
Kontrak pelumba Itali itu dengan Yamaha bakal tamat pada hujung 2010 dan dia memberi petanda bahawa mahu terus beraksi dalam MotoGP selepas tarikh itu sebelum beralih ke perlumbaan empat tayar.
Dalam temubual bersama laman web autosport.com, Rossi mengakui dia bimbang jika hidupnya tiada cabaran selepas bersara daripada MotoGP dan teruja memulakan karier dalam perlumbaan kereta.
"Saya rasa tidak selesa. Saya tidak dapat bertenang. Saya bimbang mengenai masa depan," katanya.
"Pastinya mustahil untuk saya mencari sesuatu yang dapat memberikan perasaan yang sama, motivasi yang sama dan rasa teruja yang sama.
"Tapi, saya harap dapat meneruskannya dengan motosikal dan tidak mustahil kekal di kedudukan teratas. Selepas itu, sebahagian karier saya dengan kereta atau jika tidak pada tahap yang sama, biarlah ia di tahap yang baik.
"Dan saya rasa tidak mustahil untuk terus berlumba dalam 10 tahun lagi. Ia lebih mudah dengan tali pinggang keledar, bukan?"
Rossi sebelum ini menyertai beberapa rali, menguji DTM Mercedes dan mencuri tumpuan apabila memandu uji untuk pasukan Formula Satu (F1) Ferrari ketika menimbang kemungkinan beralih ke perlumbaan kereta tahap tinggi pada 2006.
Namun, dia kemudiannya menolak untuk menghabiskan sepenuh masa dalam F1, tapi tetap berminat menyertai sesi ujian bersama Ferrari andai berpeluang melakukannya.
"Saya tidak tahu bila, tapi saya mempunyai hubungan yang baik dengan mereka," kata Rossi. "Berpeluang berlumba dengan Ferrari adalah sesuatu yang amat penting."
Dia turut mendedahkan bahawa perlumbaan 24 jam Le Mans turut berada dalam senarai perancangan masa depannya.
"Le Mans adalah salah satu pilihan saya," kata Rossi. "Saya harap berpeluang menyertai Le Mans pada masa akan datang."
Legenda F1, Stirling Moss memberi amaran kepada juara MotoGP dunia lapan kali itu dan menentang peralihan dari dua tayar ke empat tayar kerana menyifatkan pelumba dari Urbino itu 'terlalu bagus' untuk mengambil 'langkah ke belakang'.
"Saya pasti Rossi akan berjaya dalam F1 jika dia mahu," kata juara grand prix 16 kali itu, yang bakal meraikan ulangtahun kelahirannya ke-80, esok.
"Jika anda cemerlang dalam satu cabang sukan permotoran, pasti anda cemerlang dalam cabang yang lain, dan Rossi pelumba berbakat serta memahami kepantasan, jadi saya pasti dia akan berjaya dalam F1 - walaupun pada usia 32 tahun apabila dia bersara dari MotoGP - tapi secara peribadi saya tidak mengesyorkannya.
"Saya rasa dia terlalu bagus untuk F1. Dia pasti merevolusikan litar dengan unsur-unsur jenaka. Jika dia serius mahu menyertai F1, saya pasti keinginan dan dedikasinya itu mampu membuatkannya berjaya, tapi saya tidak fikir dia patut melakukannya - ia langkah ke belakang.
"Suasana di litar F1 juga berbeza dengan motosikal, tidak begitu menyeronokkan dan lebih serius - dan saya tidak merasakan dia menyukai suasana itu."
-Terjemahan dari Metro-

No comments:

Post a Comment